CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 23, 2010

Antara Nasyid Dan Mirwana

Oleh: Along Safa (Penulis Jemputan Munsyeed)

Saya diminta oleh seorang sahabat agar menulis sesuatu berkaitan kumpulan Mirwana. Malah, adik saya juga bertanyakan kepada saya, “sudah tengok video klip Mirwana dan Fiq?”. Adik saya yang berjiwa rock itu sendiri bertanya seperti mempertikai mengapa Mirwana berada disitu berkongsi lagu, berkongsi video klip bersama Fiq.

Saya menyatakan sudah menonton video tersebut di televisyen. Namun hanya menonton secara sambil lewa. Apabila saya search di Youtube, barulah dapat menghayati lagu dan video klip tersebut nyanyian Fiq dan berduet bersama Mirwana.

Jujurnya, saya meminati muzik Mirwana sejak album yang mengandungi lagu Hikmah Kembara dilancarkan. Khabarnya, album tersebut merupakan album pertama Mirwana yang dikomersialkan dan dipasarkan secara meluas. Ianya berbeza dengan album Mirwana terdahulu yang tidak dipasarkan secara komersial. Kejayaan Mirwana terbukti dengan berjayanya lagu Hikmah Kembara dan Aku Tanpa Cintamu di halwa telinga bukan sahaja peminat nasyid malah seluruh peminat muzik. Keberanian Mirwana menjemput Jay Jay sebagai teman duet lagu Aku Tanpa Cintamu menampakkan eksperimen yang menjadi.

Selepas album itu, saya tidak pula dengar berita Mirwana menghasilkan album. Mungkin ada tetapi tidak segah album Hikmah Kembara itu sendiri. Yang saya tahu adalah perihal anggotanya yang bertukar. Paling diingati sudah tentu penarikan diri Faizal Tahir dari Mirwana dan bergerak solo dengan mengetengahkan genre rock sebagai taruhan utamanya. Sekali lagi ingin saya berkata jujur bahawa vocal Faizal Tahir antara yang saya minati dalam banyak banyak penyanyi yang ada di Malaysia ini. Tidak hairan Faizal Tahir turut membawa sebahagian peminat nasyid untuk mengiringinya sebagai ‘peminat setia’ lantaran vokalnya yang diminati ramai itu.

Sejak Faizal Tahir menarik diri, Mirwana dilihat kurang menyengat. Mungkin sebahagian peminat beralih arah ke Faizal Tahir malah ada yang meminati kedua-duanya. Kemudian, terdengar pula berita kemasukan Naim ex-Fareast menyertai Mirwana. Saya tidak nampak impak yang besar dengan penyertaan Naim ini. Malah Mirwana dilihat masih biasa-biasa. Yang agak memberi kesan adalah kehilangan Izzat Mirwana yang khabarkan bercuti belajar. Ketiadaan Izzat yang merupakan aset Mirwana sejak di awal penubuhan tampak merencatkan lagi perjalanan Mirwana. Kehadiran adik Izzat menyertai Mirwana tidak membantu membuat ‘bayangan’ Izzat di dalam Mirwana.

Lama saya tidak mengambil tahu perihal Mirwana. Cuma sekali sekala berchatting bersama Akmal Mirwana yang kebetulan sebandar bersama di Batu Pahat. Yang saya dapat tahu Mirwana menghasilkan album terbaru berjudul Bumi Akhir Usia. Dengar khabar, Izzat juga telah menyertai Mirwana kembali.

Apabila menyemak dan mengambil tahu sehari dua ini perihal Mirwana, rupa-rupanya banyak juga perubahan Mirwana. Kolaborasi Mirwana bersama artis bukan nasyid kini sudah tidak dipandang ganjil lagi. Malah semua kumpulan nasyid pun beriya-iya mahu berduet dengan artis yang bukan nasyid. Tak tahu kenapa.

Ada rakan saya yang bertanya, “mirwana tu nasyid ke?”. Apa yang saya mahu jawab? Iye lah kot nasyid sebab dulu mereka kan nasyid. “iyalah, dulu memang nasyid. Tapi sekarang macam dah tak nasyid je?”. Mmm... Yang tak nasyid tu tang mana? “cuba tengok Mirwana sekarang, kopiah pun dah takde, lagu lagu pun macam dah lari dari nasyid, boleh pulak berduet dengan artis yang macam-macam”. Ohhh iya ke. Rasanya sebelum ni pun Mirwana tak mengenakan kopiah. Mereka pakai beret. Heh... Jadi mahu jawap apa persoalan “Mirwana tu nasyid ke?”.

Apabila memandang pada sudut seni muzik, Mirwana sebenarnya lebih baik dari mana-mana kumpulan nasyid yang lain. Mereka dilihat begitu teliti dengan kualiti yang mereka hasilkan. Muzik mereka melalui proses yang teliti dan penghasilan yang benar-benar berkualiti pada aspek seni muzik. Perkara ini memang diakui oleh sesiapa sahaja ahli muzik.

Apabila memandang pula pada sudut nasyid, mungkin ada beberapa peminat nasyid dan penggiat nasyid mempertikai Mirwana hari ini termasuklah imej, muzik, personaliti, penampilan dan sebagainya. Mirwana dilihat sudah lari dari landasan nasyid. Mirwana diklafikasikan sebagai artis antara dua genre. Seperti mahu pergi ke rock/pop tetapi tidak mahu melepaskan nasyid. Kadangkala mahu menjadi nasyid tetapi mahu menempelkan elemen rock, pop dan sebagainya.

Bagi saya, setiap hasil usaha dan keringat Mirwana ada nilainya. Jika masyarakat mampu bersikap adil pada Mirwana dan setiap artis, peminat nasyid juga harus bersedia menerima perubahan arus zaman hari ini. Mungkin ada yang tetap tidak boleh menerima perubahan ini kerana agaknya terlalu drastik dan memporak perandakan nasyid.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang menjadi Yang Empunya Nasyid. Tiada siapa yang menjadi PENJAGA kepada nasyid. Semenjak dahulu hingga hari ini, nasyid berdiri dengan sendiri tanpa ada seseorang yang bertindak sebagai QC sebagai memastikan nasyid hanya boleh itu dan ini dan tidak boleh itu dan begini.

Jadi jangan salahkan sesiapa kerana tiada sesiapapun yang menetapkan nasyid itu harus bagaimana. Yang ada hanyalah penetapan di pendirian setiap peminat nasyid bahawa pada dirinya nasyid itu harus bagaimana. Jika dirinya mengatakan nasyid hanya perlu alat ketuk dan haram muzik bertali, maka minatilah nasyid tradisional seperti NadaMurni.

Jika seseorang itu mengatakan nasyid harus berkopiah, minatilah kumpulan nasyid yang berkopiah. Yang tiada kopiah tak payah minat.

Akhirnya, peminat juga yang menjadi hakim. Terpulanglah kepada kumpulan-kumpulan nasyid ini mahu menyajikan apa pada imej dan album mereka. Jika ada yang minat, mereka akan mempunyai pengikut.

(credit to :www.facebook.com/munsyeed corner)